“AKU INGIN MENULIS LAGI”

Aku ingin menulis lagi…Sekian lama sudah aku menyepi, rindu rasanya menggamit memori. Aku ingin sekali menulis lagi…Apakah mindaku masih segar lagi? Agaknya ceritera apa yang nak aku kisahkan kini? Ceritera cinta terlerai sudah, cerita anak-anakku rasanya cukuplah sudah….Bingung rasanya mulakan kembali berkisah…, rasa malu takut bermasalah, ceritera nantinya tak ada sudah, menjemukan semua pembaca kisah.
Aku ingin menulis lagi…..kisah-kisahku masih banyak lagi. Tapi sepertinya menjadi sulit sekali.., membuat pilihan ceritera terkini. Rasa rindu tidak terbendung lagi…., aku ingin menulis kembali….kisah lalu ingin aku kisahkan lagi, masa kecil nostalgia indah yang harus aku ungkapkan kembali.
Aku bahagia dapat menulis lagi, mengungkap nostalgia masa kecil memang indah sekali. Rasanya ingin saja aku datangi lagi, zaman kanak-kanak memang tak perlu dipungkiri sangat indah untuk kita ceriterakan kembali. Itulah kisah ceriteraku kali ini, zaman kecilku akan diingatkan kembali. Walaupun rasanya sudah lama sekali, kisah masa lalu ku tak pernah padam dalam memori. Aku ingin kisahkan lagi, masa kecilku tak pernah aku biarkan berlalu pergi.
Aku dilahirkan dalam keluarga miskin dan sederhana, menjalani hidup terasa pahitnya. Perit sekali di masa kecil, hanya anak seorang buruh kuli yang hidup sehari-hari, ‘kais pagi makan pagi, kasih petang makan petang’. Tapi emak dan abah tak pernah pun kisah, membesarkan anak-anak tidak pernah mengalah. Apa saja sanggup diredah, mencari rezeki tak pernah patah, walau diumpat sanak keluarga, kerana dianggap tidak pandai mengurus keluarga. Memang sudah menjadi lumrah, hidup susah banyak masalah, kaum keluarga tak ambil kisah, tidak punya harta untuk dibangga, seperti sampah hidup merempat.
Aku melalui masa kecilku dengan seribu satu macam dugaan, rasanya tak mampu aku lenyapkan sebagai kenangan. Emak dan abahku tidak berpendidikan, membesarkan anak-anak bukan kecil bilangan. Tapi emak dan abah tidak pernah menyerah, semua anak-anak tetap dihantar bersekolah. Memberikan ilmu menunaikan amanah, supaya anak-anak tidak hidup susah. Itulah besarnya pengorbanan emak dan abah, mengurus anak-anak ibarat 'menatang minyak yang penuh', umpatan orang tidak pernah dikisah, itu dianggap sudah menjadi lumrah.
Abang sulungku Abdul Hamid namanya, hanya bersekolah hingga ke tingkatan lima. Selepas SPM memilih menjadi tentera. Abang ke-2 Abdul Halim namanya, selepas tamat sekolah terus bekerja, anak lelaki tak banyak kerenah, emak dan abah tak pernah disusahkan hatinya. Anak ke-3 Abdul Ghani namanya, perwatakannya pendiam tak banyak bicara. Ghani sebenarnya anak yang pintar di sekolah, kerana kesempitan hidup memilih untuk merantau saja, mencari wang menyara keluarga. Aku pula anak ke-4, lahir sebenarnya berpasangan kembar, Samsul Kamil dan Samsul Kamal, tapi takdir menghendakkan segala-galanya, kembarku Samsul Kamal kembali terlebih dahulu menghadap Ilahi seawal usia mencecah 3 hari. Di bawahku masih ada tiga orang adik lagi, dua lelaki Mohd Zainal dan Mohd Sazali, yang terakhir seorang puteri, Saharinatul Akma nama diberi. Itulah latar keluarga besar kami, walaupun miskin tapi hidup aman dan harmoni. Sentiasa bersama bersatu hati, mengharungi dugaan tanpa ada yang pernah ambil peduli.
Inilah kisah ceritera masa kecilku, rasanya tidak seindah kisah di zaman anak-anakku. Aku hanya anak kampong, mencari biaya untuk menampung keluarga. Emak dan abah tidak mampu sebenarnya, untuk makan saja harus berhutang dahulu ke sini-sana. Apa lagi untuk biaya sekolah, semuanya harus aku ikhtiar dengan sendirinya. Itulah laranya melalui masa kecilku, untuk sekolah harus pandai mencari belanja. Kasihan emak dan abah bekerja mencari biaya, menampung makan saja sangat susah rasanya.

Abah pula adakalanya terpaksa meninggalkan keluarga, mencari kerja ke mana-mana saja. Menjadi buruh binaan, kuli tauke berbangsa Cina, ada kalanya berbulan-bulan tak bersama keluarga. Emak pula mengambil upah menyemat atap dari daun rumbia. Memang sebenarnya upah tak seberapa, tapi cukup untuk mendapatkan belanja buat mengalas perut anak-anak tercinta, agar tidak kelaparan kelak jadinya. Memang perit rasanya kami sekeluarga, megharungi hidup tak punya apa-apa, hidup miskin dipandang hina, ada keluarga tidak mengaku saudara.
Tapi itulah lumrah dalam kehidupan, takdir tuhan tidak harus kita sesalkan. Hidup harus diteruskan, itulah pesan yang sering emak dan abah dititipkan. Kata abah, “ biar kita hidup susah, biar kita hidup melarat, tapi jangan sekali minta sedekah, selagi kudrat diberikan tuhan, usaha lalukan apa yang terdaya, buat kerja dengan redha, InsyaAllah akan ada rezeki dari Allah’. Pesan abah yang tak akan pernah aku lupakan.

Berkat pesan abah, aku dan abang-abang sering mengambil upah untuk melakukan apa saja kerja-kerja yang diminta oleh orang-orang kampong. Apa yang penting bagi kami, upah yang diperoleh nanti akan dapat meringankan beban emak dan abah mencari wang untuk belanja kami sekeluarga. Masih aku ingat lagi, setiap kali ada kematian warga kampong, khidmat keluarga kami selalu ditagih untuk membantu menyediakan liang lahat tujuan mengebumikan jenazah. Di samping menyumbangkan bakti dan mencari pahala, khidmat yang kami berikan itu juga dapat pulangan lumayan dari upah yang diterima. Biasanya untuk satu liang, kami dibayar RM 60.00. Ada ketikanya khidmat kami itu ditagih di bulan puasa, kalau diingatkan kembali memang perit sekali rasanya, apa lagi apabila membuat kerja di bawah panas terik matahari yang memancar. Tapi itulah namanya berbakti, di samping juga mencari rezeki, apa yang penting ikhlas di hati, setiap yang perit tidak terasa sekali.

Bila dikenang kisah masa kecil, terasa aku ini hebat sekali. Tambah lagi mungkin apa yang pernah aku lalui tidak akan dapat dilakukan oleh anak-anakku kini. Aku dahulu punya keistimewaan tersendiri, seawal usia 12 tahun sudah bisa memanjat pohon kelapa mencari punca rezeki. Kalau diingat-ingatkan kembali, rasanya memang sukar sekali, apa lagi pohon kelapa yang ku panjat bukan calang-calang tinggi. Tapi itulah namanya mencari rezeki, seluruh pelusuk kampung aku redah dan jejaki, hampir semua pohon kelapa aku panjat dan ku tawani.
Mengambil upah memanjat dan memetik buah kelapa sebenarnya bukan perkara mudah. Apa lagi pohon yang tingginya sayup mata memandang. Di tambah pula memanjat dengan membawa senjata bersama, parang atau golok terselit dipinggang, perlu gunanya menetak tandan dan pelepah kelapa. Rasa gayat memang menjadi sangat nyata, apa lagi bila sudah berada di puncak pokoknya. Paling hebat diri ini terasa, apabila ingin mula memanjat, menyelinap naik tak ada rasa takutnya, dalam beberapa ketika sudah dipuncak tak terasa.
Di sebalik kisahku mengambil ubah memanjat pohon kelapa. Ada cerita nak aku kongsikan sama. Rasanya lucu, mungkin juga sejarah hidup yang tak mungkin dapat aku lupakan, menjadi kenangan akan aku ingat untuk selama-lamanya. Terjadi kisah di suatu ketika, mengambil upah di kebun Mak Salamah. Aku disuruh menurunkan kelapa muda, tapi pohon kelapa sederhana tingginya. Bagi aku itu kerja yang mudah, pohon tinggi saja tak pernah ada masalah, ini cuma pohon yang sederhana, rasanya hanya kerja yang mudah saja. Lalu aku terus mula memanjat, bawa bersama golok di pinggang aku ikat. Rupa-rupanya ada tetamu tidak disangkan-sangka, sampai di puncak pohon ular merenung menyambut mesra. Aku terkejut dan sangat gementar, rasa mahu aku terjun sahaja rasanya. Ular aku lihat seperti ingin menerkam ke muka, aku yang takut melunsur turun dengan lajunya. Dada ku merah lukanya parah, kerana ular kerjaku musnah, untung saja ular tidak sempat menerjah, jika tidak tentu saja aku sudah menjadi arwah. Kenangan itu memang menjadi sejarah, tapi tidak pernah membuatkan aku menyerah.
Benar…., aku tidak pernah menyerah, peristiwa terjadi, tapi semangat tidak pernah patah. Membanting tulang membantu emak dan abah, itu yang penting aku terus berusaha. Emak dan abah harus dibela, biarpun perit tapi aku gagahkan jua. Walupun pahit mengharungi liku-liku hidup, tapi aku bangga kerana dapat membantu emak dan abah membela nasib keluarga. Aku bangga kerana kami masih mampu mengharungi hidup tanpa harus meminta belas kasihan keluarga atau sesiapa sahaja. Memang sebenarnya hidup miskin banyak pahit dan peritnya, tapi aku harus redha dengan ketentuan yang ada, mencari ikhtiar agar ada jalan keluarnya, supaya keluarga tidak dipandang hina.
Aku gembira dapat menulis lagi….., walaupun ceritaku sederhana sekali. Aku gembira dapat menulis lagi…..kisah-kisah hidupku sebenarnya masih panjang lagi. Tapi biarlah dulu sampai di sini, esok akan aku usaha tuliskan lagi, kisah-kisah hidupku masih ada lagi….semoga dapat membawa erti, banyak ikhtibar dapat dikongsi.
Buat emak dan abah yang telah pergi, jasa kalian tetap aku sanjung dan junjung tinggi. Tidak terbalas segala jasa dan bakti, mendidik kami dengan penuh erti, walaupun jerit perit terpaksa diharungi, tapi kalian tetap tabah dan cekal hati. Emak dan abah kalian sangat aku sanjung tinggi, jasa kalian tidak mampu untuk anak-anakmu balas di dunia ini. Hanya doa kami panjatkan kepada Ilahi, semoga roh kalian akan selalu diberkati, ditempatkan Allah disisiNya abadi menjadi insan terpilih mengecap nikmat di syurga nanti.
Terima kasih emak dan abah, kalian insan teristimewa bagi kami….
Hanya Al-Fatihah kami titipkan di sini, semoga roh kalian sentiasa dirahmati, oleh Allah s.w.t yang Maha Mengasihi pada hamba-hamba-Nya yang telah berbakti. Kami anak-anak-mu sentiasa merindui, segala didikan kalian akan kami turuti, meneruskan tradisi mendidik anak-anak kami, supaya menjadi anak-anak yang soleh jua nanti…..
Aku akan menulis lagi…….aku tidak akan berhenti hanya di sini……..
Samsul Kamil Osman,
Teratak Shamida,
05 Oktober 2011.
.