Hidup ini satu pengembaraan.....kembara mencari kedamaian, kembara mencari kebahagiaan, kembara mencari keredhaan....dalam pengembaraan ada penceritaan......lanjutkan penceritaan demi kehidupan yang abadi.....

Sunday, 21 August 2011

Di Sebalik Cinta Shamida - Siri Pertama

Detik Permulaan Dalam Suatu Perjalanan

Bismillah hirrahman nirrahim…..Bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana di atas limpah dan kurnia-Nya, aku masih diberi kesempatan untuk dapat terus menulis lagi. Puji dan syukur juga dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana telah memberikan segala limpah dan rahmat-Nya, sehingga hari ini akan masih diberikan kekuatan dan tubuh badan yang sihat.

Tidak itu saja, kurniaan-Nya yang hebat memberikan aku minda yang masih cerdas untuk menghuraikan kata-kata menjadi sebuah ceritera….ceritera yang bukan sekadar direka atau dicipta….tapi ceritera yang telah memberi banyak makna….lama tersimpan menjadi rahsia….semoga kini dapat dikongsikan bersama….semoga dapat mengembalikan memori silam yang tak akan pernah padam….walaupun masa bergerak silih berganti…..kenangan sentiasa datang dan pergi…tetapi yang terindah tetap akan kekal abadi….tetap tersimpan menjadi sebuah memori…

Ceriteraku akan bermula dari kisah sebuah kota kecil. Terletak di muara sungai yang mencatatkan angka terakhir, kurang satu (‘sa’) mencukupkan bilangan. Mengikut cerita lama….dari catatan itu namanya diambil…lalu diberikan nama ‘Kuala Kangsar’. Kemudian diangkat menjadi Bandar Diraja…Tempat bersemayam Paduka Sultan Perak dan Raja-Raja naungannya. Menjadi lambang Payung Mahkota….lambang kemegahan rakyat jelata.

Tapi bukan sejarah Perak yang menjadi topik bicara. Bukan tarafku untuk menceritakan kisahnya, aku bukan sejarawan ternama atau juga penglipulara tukang bercerita dahulu kala. Aku hanya ‘pacal yang hina’, insan biasa yang ilmunya tak seberapa. Hanya pandai mengarang cerita, tapi tak pandai menyusun kata, mungkin saja tak sedap bunyi rima bahasanya...mohon maaf apa kiranya…baru nak belajar berbunga bahasa, kalau salah maaf dipinta.

Kisah bermula dari sebuah cerita….anak sekolah yang baru belajar nak bercinta, masih berhingus lagi sebenarnya, tapi hati berjiwa dewasa. Sekolah baru di tingkatan dua, baru nak mula mengenal sejarah dunia. Ilmu dituntut sebenarnya masih tak seberapa, tapi punya jiwa besar dan bercita-cita, suatu masa nak menakluk dunia, ingin merantau mengembangkan ilmunya, agar menjadi insan berguna. Itulah ‘Amen’ nama timangan pemberian ibunya, tapi di sekolah dipanggil ‘Min’, pelajar pendiam, bersifat sederhana. Tapi ‘Sham’ panggilan manjanya.

Pasangannya pula ‘Ida’ namanya, kecil molek paras rupanya, hitam manis warna kulitnya, berambut panjang manis di pandang. Si cantik manis anak yang manja, di sekolah pula bijak orangnya, disenangi rakan kerana lincahnya, segala bidang habis diteroka.

Perkenalan bermula secara tidak sengaja, walaupun tidak pernah di sekolah yang sama. Tapi itulah namanya takdir bermula, di rumah datuknya kami bersua. Itu juga kebetulan sahaja, kerana aku dan datuknya tetangga.

Dari situ mulalah ceritera, kisah persahabatan yang tak pernah ada penghujungnya. Bermula kisah mengisi zaman remaja, zaman yang penuh dengan perbagai cerita suka dan duka. Zaman remaja yang punya seribu satu macam cerita, tapi yang terindah tetap saja tak akan pernah dilupa, menjadi kenangan abadi buat selama-lamanya.

Sham dan Ida punya banyak cerita. Kalau diungkapkan cukup banyak masa yang akan tersita. Tapi ada yang dapat dikongsikan bersama, supaya dapat diambil pengajarannya. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah jua, yang buruk itu kelemahan kami sebagai manusia biasa. Semoga nanti dapat diambil ikhtibarnya. Kisah ini kita kongsikan bersama nantinya.

Teratak Shamida,

21 Ogos 2011

Monday, 15 August 2011

Mukadimah....

Bismillahir Rahmanir Rahim

Puji dan syukur kepada Allah s.w.t di atas segala limpah dan kurniaNya sehingga saya dapat berkesempatan untuk berkongsi pengalaman hidup, suka dan duka, tangis dan gembira, kekecewaan dan kejayaan.

Sudah semestinya dalam melalui liku-liku kehidupan pelbagai onak dan duri serta ranjau yang berliku terpaksa kita lalui dan harungi. Tetapi semua itu sebenarnya bukanlah menjadi alasan untuk kita terus menyerah dan mengaku kalah. Tetapi kita harus bangkit kembali dan terus melangkah dan menerjah walaupun terpaksa merentas badai dan gelora, rebut dan taufan yang datang melanda.

Itulah kehidupan…..penuh dengan penceritaan.…..penceritaan yang membawa banyak pengajaran…pengajaran yang menjadi landasan kepada sebuah penghidupan yang sempuna dan abadi…….

Semoga segala yang sampaikan melalui pengalaman kisah-kisah hidup yang pernah dilalui ini akan dapat member ikhtibar dan manfaatnya kepada kita semua.

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t. dan yang buruk itu dari kelemahan kita sebagai hambaNYa yang daif dan selalu alpa….

Teratak Shamida,

15 Ogos 2011